it's not you, it's me

Thursday, 23 July 2026

Family Day Lenggong 2025 | Akhirnya Menjadi Juga! (Part 1)


InI kisah Family Day kami (27-29 June 2025), setelah sekian lama kami tak buat family day, akhirnya tercapai juga impian itu. Seawal bulan Januari, kami adik-beradik sepakat menempah chalet di Rumah Sungai, Lenggong. Kami lima beradik bersama mak dan ayah, dan keseluruhannya 6 buah chalet ditempah. Semuanya sederet dan menghadap sungai. Bayangkanlah betapa tak sabarnya kami menunggu hari tersebut.

Lenggong pula dekat sangat dengan kampung Syafiq. Memang lama aku simpan impian nak bawa seluruh keluarga ke kampung dia, sebab kami ni sebenarnya tak ada kampung yang betul-betul kampung. Jadi trip ni terasa sangat istimewa.

Khamis, 26 Jun 2025, aku dan Syafiq bertolak dari Ampang sekitar jam 9 malam. Kami gerak awal sebab nak singgah dan kemas rumah arwah opah dulu di kampung. Rumah lama yang lama kosong, kenalah tepuk-tepuk habuk sikit. Harapannya, bila keluarga lain sampai keesokan pagi, mereka boleh terus berehat sementara tunggu waktu check-in.

Keluarga yang lain pula semuanya bergerak dari JB, memang long trip untuk mereka. Kak Suraya dan Abang Erwin pilih cara yang lebih adventure, naik bas pukul 10 malam. Last minute, Lutfi dan Arif pun ikut naik bas dengan maklong dan paklong sebab Kak Puspa dan abang Fuad tak dapat join, Wafiq kurang sihat pula ☹️
Mak dan ayah pula naik kereta bersama keluarga abang, bertolak jam 12 tengah malam. Kak Sa dan gengnya bergerak sendiri dengan kereta sekitar jam 12.30 pagi.

Pagi esoknya, rombongan abang sampai paling awal, sekitar jam 6.30 pagi. Hebat betul! Kak Suraya pun sampai lebih kurang waktu yang sama. Kak Sa pula sampai sekitar jam 9 pagi. Macam-macam cerita dia kongsi tentang Hana dan Luqman dalam kereta. Menangis, muntah, semua ada. Haha, kenangan perjalanan memang tak pernah sunyi.

Maka bermulalah pengembaraan kami.

Pagi itu, rancangan asalnya nak bersarapan di Warung Selera Kampung Bendang Panjang, Kuala Kangsar. Tapi hampa, warung tutup pula. Sayang betul, kalau tak dapatlah merasa pengalaman makan di tengah kebun getah. Disebabkan kami tak sediakan pelan B, aku dan Syafiq pun pusing-pusing sekitar Lembah dan akhirnya memilih untuk sarapan di Restoran Mama Mee Tulang.

Ada mee tulang, mee kari, mee rebus, nasi lemak, rasanya biasa-biasa saja, tapi bolehlah alas perut. Jelas nampak semua orang keletihan dan mengantuk selepas perjalanan jauh.

Selesai sarapan, aku dan Syafiq singgah kedai runcit beli barang untuk perap ayam dan kambing. Mak pula comel betul, siap ‘stock up’ barang dapur sebab teruja tengok harga barang yang jauh lebih murah dari JB. Bawang, asam keping, ikan masin dan macam-macam lagi. Bonet kereta abang pun makin penuh. Haha.

Memandangkan kami dah berada di Lembah, kami buat keputusan untuk naik bot menyelusuri Sungai Perak. Ini pengalaman pertama untuk keluarga aku, dan memang best sangat. Semua sibuk bergambar, ketawa tak henti-henti. Suasana penuh gelak tawa.

Selepas itu, kami balik ke rumah arwah opah untuk berehat. Masing-masing mandi, luruskan badan dan tidur sekejap. Aku dan Syafiq pula mula mengusahakan tiga ekor ayam untuk BBQ malam nanti. Abang dan abang Erwin turut tolong basuhkan ayam. Mak dan ayah jalan-jalan sekitar rumah, menikmati pemandangan gunung-ganang. Pagi itu terasa sangat nyaman dan tenang.

Sekitar jam 1 tengah hari, kami bertolak ke Lenggong. Kami gerak awal sebab nak singgah makan tengah hari dulu. Kami lunch dekat Restoran Tasik Raban. Semua kagum dengan keindahan tasik yang luas berlatarbelakangkan gunung. MashaaAllah, cantiknya ciptaan Allah.

Lepas dapat kunci chalet, lepas solat, terus terjun sungai! Dekat situ ada gelongsor yang terus turun ke sungai. Tengok anak-anak buah main, aku pun teringin jugak nak cuba. Bila dah sampai atas, barulah terasa gayat oii tapi tetap teruskan juga. Meluncur sambil menjerit “ahhhhh!” disaksikan keluarga dan abang yang tunggu nak sambut dekat bawah. Hahaha.

Paling manis, ini kali pertama sepanjang hidup aku tengok mak berendam dalam sungai. Bukan betul-betul berenang, tapi paras pinggang pun dah cukup bermakna. Anak-anak dah besar, tak perlu berjaga macam dulu. Sekarang mak ayah boleh join sekali sambil tengok cucu-cucu bermain. Ayah pula setia memerhati dari balkoni chalet. Jelas terpancar kegembiraan di wajah mak dan ayah. Alhamdulillah 😊

Sekitar jam 6 petang, kami mula sediakan arang untuk BBQ malam tu. Malam itu kami bakar ayam, kambing dan sosej. Kak Sa masak nasi dan sardin. Kak Puspa pun ada bekalkan sambal ikan bilis dia. Meletop sedapnya nak-nak pula bila makan ramai-ramai macam ni. Meja BBQ betul-betul di tepi sungai, dengan bunyi air mengalir yang sangat mendamaikan. Bila dikenang semula, memang rasa bahagia.

Semua makan dengan berselera. Lepas makan, mak ayah dan keluarga Kak Sa masuk awal sebab  keletihan perjalanan jauh, lagipun anak-anak Kak Sa kecil lagi. Kami yang lain masih duduk di meja tepi sungai, main game, berborak dan layan telefon. Lepas itu, ‘the boys’ turun sungai lagi, sejuk tak ingat dunia. Mereka siap tangkap ikan, dapat juga seekor! Haha.

Tak lama kemudian kami pun masuk, bukan sebab mengantuk sangat, tapi sebab mak dah mula jeling dari jauh. Faham-faham jelah 😂

Kita stop dekat sini dululah. Penat taip haha.. Sambung part 2 soon! 💖



TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

Friday, 17 July 2026

Pengalaman Pertama Masuk Hospital Sebab Keracunan Makanan


Harini baru rasa nak cerita pengalaman aku masuk hospital sebab...cirittt 😂

Kisah dia bermula hari Ahad (2/11/2025). Tengah hari tu aku dengan Syafiq pergi rumah Kajang sebab nak cuci-cuci sikit. Sebelum gerak, kami singgah makan nasi ayam dekat salah satu kedai di Bangi. Tak nak mention nama kedai sebab mungkin memang nasib aku je tak baik hari tu. 😅

Aku syak punca dia daripada cuka sambal yang ada atas meja tu sebab Syafiq langsung tak makan sambal tu. Kami pula makan bersungguh-sungguh, siap order ayam double lagi. Memang puas hati... masa tu lah. 🤣

Lepas makan, kami terus ke rumah dan mula mengemas. Tengah aku syok cuci bilik air, tiba-tiba... mak aii, perut terus bergelora. Bukan sakit perut biasa tau, siap pakej muntah sekali. Dalam hati terfikir jugak, "Takkan secepat ni kesan dia?"

Esoknya, Isnin (3/11), terus MC. Seharian muntah tak tahu berapa kali sampai dah tak tahu apa lagi nak dimuntahkan. Selasa masih loya dan cirit-birit tak berhenti. Masuk Rabu, memang aku dah terbaring je. Nak makan pun tak lalu sebab perut dah penuh angin dan badan memang lembik.

Petang Rabu tu Syafiq cakap, "Siap, kita pergi hospital."

Aku pun ikut je sebab memang dah tahu badan ni dah tak mampu nak lawan sendiri.

Kami terus ke Emergency Pantai Hospital Ampang. Dekat situ doktor bagi rawatan awal. Dia cucuk ubat, masuk air dalam tangan, dan... fuhhh. Tak lama lepas tu terus rasa segar balik. Memang ajaib rasa dia. 😂

Tapi walaupun dah rasa okay, tetap kena warded jugak sebab nak buat pemerhatian dan boleh claim insurance sekali.

Itulah first time dalam hidup aku kena masuk wad.

Nasib baik kami ambil bilik seorang, jadi Syafiq boleh teman sepanjang aku dekat hospital sebab aku ni penakut. Lagi satu yang buat aku teruja, nurse datang bagi menu suruh pilih nak makan apa. Dah sakit pun masih fikir pasal makanan.

Aku dalam hati, "Ohhh... macam ni rupanya hospital swasta." 🤣

Esoknya keputusan darah semua elok. Aku ingat dah boleh balik.

Rupanya... tak boleh lagi. 😂

Jadi terpaksalah sambung duduk wad. Aku rasa doktor dengan nurse kat situ pun tahu sebenarnya aku dah makin sihat. Penat jugak nak "berlakon" macam orang sakit. Hahaha.

Akhirnya hari Jumaat petang baru dapat discharge.

Alhamdulillah, semuanya dah kembali okay.

Cuma sampai harini aku masih belum ada keberanian nak makan nasi ayam dekat mana-mana kedai. Bila teringat je terus rasa loya. Trauma betul. 🤢

Bonus dia, berat aku turun 4kg. 🤣 Bila masuk kerja, ramai tegur kata nampak kurus sikit, cerah sikit. Mestilah cerah... beberapa hari duduk dekat rumah dan hospital, langsung tak jumpa matahari. 😂

Akhir sekali...

Terima kasih suami sebab sentiasa ada di sisi saya, dari mula sampai habis. ❤️ Lep chu ngeh-ngeh. 🫶



TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

HERE COMES THE SUN & HARI BERKELAH KAMI


Aku taip ni sambil nyanyi "Here Comes the Sun~" lagu The Beatles. Lagu ni lah yang aku letak masa upload gambar-gambar hari tu dekat IG. Setiap kali dengar, terus teringat weekend singkat tapi penuh kenangan ni. ☀️

Macam biasa, kalau aku dengan suami nak balik JB hujung minggu, memang kami akan inform awal dekat family. Kami bukannya balik lama pun. Jumaat lepas kerja terus shot naik bas, sampai JB tengah malam. Lepas tu Ahad petang dah kena balik KL semula. Sedih juga, rasa macam sekejap sangat. ;'(

So, Kak Sa came out dengan satu idea bernas, iaitu pergi berkelah dekat Desaru! Ni cerita 2/8/2025 btw, walaupun baru sekarang rajin nak tulis. Hampir setahun dah berlalu. Hahaha.

Asalnya nak celebrate birthday ayah sekali, tapi last minute ayah tak dapat join sebab badan dia letih. Mak pula bila ayah tak ikut, dia pun tak sampai hati nak pergi. Katanya nak teman ayah dekat rumah. Maka, bertukarlah rancangan kepada perkelahan adik-beradik, ipar-duai dan anak-anak buah sahaja.

Macam biasalah, terus masing-masing senaraikan menu untuk potluck. Jeng3..ada kisahnya.

Malam tu aku dengan suami sampai JB. Kak Suraya, mak dengan ayah datang jemput dekat Terminal Larkin. Lepas tu ayah terus ajak pergi mamak. Haha. Memang ayah lah, kalau bab ngeteh-ngopi sambil bersembang memang nombor satu.

Keesokan harinya, kami gerak awal pagi sebab nak cop tempat yang best. Sampai je dekat sana, terus semua bergotong-royong pasang khemah, bentang tikar dan susun barang. Khemah tu asalnya untuk budak-budak baring... tapi maksu dia yang tidur dulu. Ngeh ngeh. 😂

Menu pula memang macam-macam. Seingat aku (sebab posting ni ditulis hampir setahun kemudian 🤣), ada bihun sup, nasi putih dengan sambal sardin, nasi lemak, keropok ikan, nugget kentang dan macam-macam lagi. Yang paling kelakar, Kak Sa siap senaraikan macam-macam nak bawa, tapi last-last dia bawak... timun Jepun je. Hahaha.

Lepas makan, semua pun turun mandi laut. Maklong rasanya yang paling puas sekali. Memang kesukaan dia main2 air. Aku pula entah kenapa mengantuk sangat. Sudahnya aku masuk khemah dan tidur. Rugi juga bila fikir balik sebab bukan selalu dapat berkumpul macam ni.

Bila semua dah naik mandi, kami sambung makan lagi. Paklong belanja ais krim, abang buat kopi susu panas-panas, lepas tu kami duduk bersembang sambil bergelak ketawa. Memang seronok.

Ini first time kami lepak adik-beradik dengan pakej lengkap sekali anak-anak buah. Riuh memang riuh, tapi itulah yang buat suasana lagi meriah. Tengah kami rancak berborak, "the boys" pula tidur berderet dalam khemah. Nak kejut diorang bangun memang satu hal. Liat betul. Hahaha.

Lepas semua dah siap tukar baju, kami pun bergambar ramai-ramai sebelum bersiap untuk pulang. Gambar wajib ada. Kalau tak, macam tak sah pula pergi berkelah. 😆

Malam tu pula Hana, anak buah aku, tidur dengan aku dan suami. First time budak umur empat tahun tu tak tidur dengan family dia sendiri. Yang paling sebak sebenarnya... ibu dia. Hahaha.

Aku dengan suami? Mestilah the best aunt & uncle in the world. Cing! 😎

Walaupun ayah dengan mak tak dapat ikut kali ni, tetap bersyukur sebab dapat luang masa dengan adik-beradik, ipar-duai dan anak-anak buah. Semoga nanti ada rezeki buat lagi family picnic versi lengkap, kali ni mesti kena paksa mak dengan ayah ikut sekali. Ahad petang, kami balik KL with full heart! Penat ada, tapi hati puas sebab dapat cipta lagi satu memori indah bersama keluarga. Sayang semuanya.. 



TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

Thursday, 7 August 2025

Balik JB: Momen Ringkas Tapi Bermakna


Mari kita patah balik ke tarikh 10 - 12 Mei 2025.

Pada 10, 11 dan 12 Mei lepas, aku balik JB sorang-sorang. Suami aku, Syafiq, kena kerja Sabtu dan Ahad tu. Kebetulan 12 Mei cuti umum sempena Hari Wesak, jadi aku pun ambil kesempatan balik JB lama sikit — dengan keizinan suami tercinta, of course (plus dia sponsor tiket bas huhu).

Sabtu pagi tu, 10 Mei 2025, kakak sulung aku, Kak Suraya, ajak aku, mak, dan ayah pergi sarapan kat kawasan Perling, berdekatan rumah Pakcik Shukor. Dia nak hantar popia frozen yang pakcik order. So kami semua pun breakfast sama-sama dengan pakcik kat kedai mamak.

Aku order roti puri dengan teh O panas. Sedap? Hmm… boleh lah. Asalkan kenyang, ye dak? Hehe. Tapi yang best tu, kami borak sakan dengan Pakcik Shukor sebab dia memang jenis kelakar dan tak kering idea. Macam-macam topik keluar pagi tu.

Lepas makan, Kak Suraya bawa kami jalan-jalan ke Kampung Kong Kong, Pasir Gudang. Saja nak bagi mak ayah tengok laut sambil raikan kepulangan adik bongsu dia ke JB — iaitu saya lah tu, ehem.

Tapi... ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Baru sampai jeti, hujan turun selebat-lebatnya. Jadi kami berteduh dulu kat satu gerai makan tepi jeti tu. Duduk sambil layan pemandangan hujan jatuh ke laut, memang tenang habis. Angin sejuk, bunyi hujan, dan bau laut — sangatlah damai.

Bila hujan reda, kami ambil peluang bergambar. Ada gambar aku dengan mak ayah, dan ada juga gambar Kak Suraya dengan mak ayah. Kira macam “anak bongsu vs anak sulung” moment la ni. Hahaha. Macam budak-budak pun ada, tapi moment tu memang priceless. 

Lepas habis sesi jalan-jalan tepi laut (dan hujan lebat) di Kampung Kong Kong, kami terus gerak ke rumah kakak aku nombor dua — Kak Puspa. Hari tu memang plan nak celebrate birthday Lutfi, anak sulung dia. Lutfi ni istimewa sikit — dia baby pertama dalam keluarga kami. Tapi sekarang, dah sekolah menengah pun! Tinggi lonjong, jauh tinggi dari maksu dia (aku lah tu), sampai rasa nak jeling ke atas bila borak dengan dia. Hahaha.

Kak Puspa masak mee hailam untuk jamuan hari jadi. Ya Allah… sedap sangat! Yang jenis pekat, penuh dengan sayur dan seafood tu. Boleh repeat mangkuk kedua tanpa rasa bersalah. Tak cukup dengan tu, Kak Puspa siap order kuih puteri ayu dengan karipap sardin dari jiran sebelah. Kedua-duanya pun sedap tak ingat dunia. Pendek kata — kenyang level kenduri.

Kami makan sambil borak panjang, gelak sakan. Masa kami sampai tu, Abang Haffiz dengan Kak Sa pun baru sampai rumah Kak Puspa. Janji pukul 1 tengah hari, tapi kami semua jenis “janji Melayu” — sampai pukul 2 pun masih rileks. Hehe.

Suasana rumah Kak Puspa hari tu memang hidup. Anak-anak main, orang dewasa sembang, dan yang best, ada juga yang sempat terbongkang tidur — termasuk abang aku dan ipar-ipar lelaki. Nampak sangat selesa dan tenangnya rumah tu. Maklumlah, makan kenyang, cuaca mendung, perut pun bahagia — memang sedap kalau lelap kejap.


Hari Ahad, 11 Mei 2025, aku mulakan pagi lebih awal dari biasa. Seawal 7.30 pagi aku dah terpacak dekat Sireh Park, Iskandar Puteri — lokasi penuh kenangan sebab fun fact, kat sinilah aku pernah shoot gambar sanding lima tahun lepas. Sampai sekarang aku masih tertanya-tanya macam mana aku hiking kat situ dengan baju songket dulu? 😂

Pagi tu, aku join abang sekeluarga, Lutfi, Arif, Kak Suraya dan Abang Erwin pergi hiking santai + jalan kaki. Tapi biasalah, aku yang semangat awal sampai… pukul 8 jugak baru diorang muncul. Cis. Haha.

Kami ikut laluan biasa masuk ke dalam hutan, kemudian lalu laluan off-road — kalau tak silap namanya Sireh X-Rail. Laluan dia best gila, sebab lepas hujan, suasana jadi redup dan tanah pun lembap-lembap sejuk. Ada satu part kami jalan dalam parit kecil yang airnya turun dari bukit — sejuk sangat! 

Lepas hampir beberapa puluh minit berjalan, kami sampai ke sebuah kafe dalam hutan. Nak ke kafe tu, kami kena naik satu struktur yang rasa dia macam ala-ala naik sampan — bukan sampan betul, tapi vibe tu memang rare. Duduk kat kafe tu, layan pemandangan pokok-pokok hijau, memang rasa tenang sangat. Hutan, hujan, udara nyaman… lengkap pakej healing.

Sireh Park ni memang sentiasa ada tempat dalam hati aku — bukan sebab gambar sanding je, tapi sebab vibe dia tenang, natural, dan sentiasa bagi memori baru yang manis setiap kali datang.


Pagi Isninku, 12 Mei 2025, bermula di Terminal Larkin. Pagi yang sunyi tapi penuh rasa dalam hati. Hari terakhir aku di JB untuk trip kali ni. Tiket bas aku pukul 8:30 pagi — pagi betul!, tak pernah-pernah ambil tiket awal macam tu sebelum ni. Asalnya memang plan nak balik Ahad petang, tapi mak sempat cakap:

“Tak boleh ke extend balik hari Isnin? Kan cuti umum…”

Dan seperti biasa, bila mak sebut gitu — automatik rasa sebak. Tak sanggup nak cakap “tak boleh”, terus aku reschedule tiket ke hari Isnin. Mujur masih ada seat kosong, walaupun waktu pagi buta. Pagi tu, mak, Kak Suraya, dan Hana (anak buah perempuan pertama kami — umur baru 4 tahun, penuh keletah) hantar aku ke Terminal Larkin. Hana nampak teruja — mungkin sebab tu kali pertama dia tengok bas dari dekat macam tu. Comel sangat tengok dia pandang bas besar tu dengan muka yang excited dia haha.. Diorang tunggu sampai aku naik dan bas mula gerak. Aku macam biasa — lambai sampai hilang dari pandangan, macam dalam babak drama Melayu. Dan mak pun sama — lambai penuh kasih, dari luar tingkap, sambil senyum yang sebenarnya penuh sayu.

Dan masa tu...rasa rindu mula mencucuk.

Betullah... duduk jauh dari family ni bukan senang. Kadang kita boleh gelak-gelak masa bersama, tapi bila tiba masa nak berpisah walau sekejap — hati terus berat. Sebab tulah, setiap kali balik KL mesti mata aku bergenang air mata. 

Keluarga. Tempat kita datang, dan tempat kita akan selalu rindu untuk pulang.


Syukur alhamdulillah, atas kesempatan yang Allah bagi — untuk balik kampung, untuk peluk mak ayah, untuk duduk sama-sama dengan adik-beradik, untuk nikmati ketenangan hujan, dan untuk rasa kenyang yang datang dengan kasih sayang.

Moga kenangan kecil macam ni terus jadi penguat hati dan pengubat rindu bila berjauhan nanti. 



TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA