
InI kisah Family Day kami (27-29 June 2025), setelah sekian lama kami tak buat family day, akhirnya tercapai juga impian itu. Seawal bulan Januari, kami adik-beradik sepakat menempah chalet di Rumah Sungai, Lenggong. Kami lima beradik bersama mak dan ayah, dan keseluruhannya 6 buah chalet ditempah. Semuanya sederet dan menghadap sungai. Bayangkanlah betapa tak sabarnya kami menunggu hari tersebut.
Lenggong pula dekat sangat dengan kampung Syafiq. Memang lama aku simpan impian nak bawa seluruh keluarga ke kampung dia, sebab kami ni sebenarnya tak ada kampung yang betul-betul kampung. Jadi trip ni terasa sangat istimewa.
Khamis, 26 Jun 2025, aku dan Syafiq bertolak dari Ampang sekitar jam 9 malam. Kami gerak awal sebab nak singgah dan kemas rumah arwah opah dulu di kampung. Rumah lama yang lama kosong, kenalah tepuk-tepuk habuk sikit. Harapannya, bila keluarga lain sampai keesokan pagi, mereka boleh terus berehat sementara tunggu waktu check-in.
Pagi esoknya, rombongan abang sampai paling awal, sekitar jam 6.30 pagi. Hebat betul! Kak Suraya pun sampai lebih kurang waktu yang sama. Kak Sa pula sampai sekitar jam 9 pagi. Macam-macam cerita dia kongsi tentang Hana dan Luqman dalam kereta. Menangis, muntah, semua ada. Haha, kenangan perjalanan memang tak pernah sunyi.
Maka bermulalah pengembaraan kami.
Pagi itu, rancangan asalnya nak bersarapan di Warung Selera Kampung Bendang Panjang, Kuala Kangsar. Tapi hampa, warung tutup pula. Sayang betul, kalau tak dapatlah merasa pengalaman makan di tengah kebun getah. Disebabkan kami tak sediakan pelan B, aku dan Syafiq pun pusing-pusing sekitar Lembah dan akhirnya memilih untuk sarapan di Restoran Mama Mee Tulang.
Ada mee tulang, mee kari, mee rebus, nasi lemak, rasanya biasa-biasa saja, tapi bolehlah alas perut. Jelas nampak semua orang keletihan dan mengantuk selepas perjalanan jauh.
Selesai sarapan, aku dan Syafiq singgah kedai runcit beli barang untuk perap ayam dan kambing. Mak pula comel betul, siap ‘stock up’ barang dapur sebab teruja tengok harga barang yang jauh lebih murah dari JB. Bawang, asam keping, ikan masin dan macam-macam lagi. Bonet kereta abang pun makin penuh. Haha.
Memandangkan kami dah berada di Lembah, kami buat keputusan untuk naik bot menyelusuri Sungai Perak. Ini pengalaman pertama untuk keluarga aku, dan memang best sangat. Semua sibuk bergambar, ketawa tak henti-henti. Suasana penuh gelak tawa.
Selepas itu, kami balik ke rumah arwah opah untuk berehat. Masing-masing mandi, luruskan badan dan tidur sekejap. Aku dan Syafiq pula mula mengusahakan tiga ekor ayam untuk BBQ malam nanti. Abang dan abang Erwin turut tolong basuhkan ayam. Mak dan ayah jalan-jalan sekitar rumah, menikmati pemandangan gunung-ganang. Pagi itu terasa sangat nyaman dan tenang.
Sekitar jam 1 tengah hari, kami bertolak ke Lenggong. Kami gerak awal sebab nak singgah makan tengah hari dulu. Kami lunch dekat Restoran Tasik Raban. Semua kagum dengan keindahan tasik yang luas berlatarbelakangkan gunung. MashaaAllah, cantiknya ciptaan Allah.
Lepas dapat kunci chalet, lepas solat, terus terjun sungai! Dekat situ ada gelongsor yang terus turun ke sungai. Tengok anak-anak buah main, aku pun teringin jugak nak cuba. Bila dah sampai atas, barulah terasa gayat oii tapi tetap teruskan juga. Meluncur sambil menjerit “ahhhhh!” disaksikan keluarga dan abang yang tunggu nak sambut dekat bawah. Hahaha.
Paling manis, ini kali pertama sepanjang hidup aku tengok mak berendam dalam sungai. Bukan betul-betul berenang, tapi paras pinggang pun dah cukup bermakna. Anak-anak dah besar, tak perlu berjaga macam dulu. Sekarang mak ayah boleh join sekali sambil tengok cucu-cucu bermain. Ayah pula setia memerhati dari balkoni chalet. Jelas terpancar kegembiraan di wajah mak dan ayah. Alhamdulillah 😊
Sekitar jam 6 petang, kami mula sediakan arang untuk BBQ malam tu. Malam itu kami bakar ayam, kambing dan sosej. Kak Sa masak nasi dan sardin. Kak Puspa pun ada bekalkan sambal ikan bilis dia. Meletop sedapnya nak-nak pula bila makan ramai-ramai macam ni. Meja BBQ betul-betul di tepi sungai, dengan bunyi air mengalir yang sangat mendamaikan. Bila dikenang semula, memang rasa bahagia.
Semua makan dengan berselera. Lepas makan, mak ayah dan keluarga Kak Sa masuk awal sebab keletihan perjalanan jauh, lagipun anak-anak Kak Sa kecil lagi. Kami yang lain masih duduk di meja tepi sungai, main game, berborak dan layan telefon. Lepas itu, ‘the boys’ turun sungai lagi, sejuk tak ingat dunia. Mereka siap tangkap ikan, dapat juga seekor! Haha.
Tak lama kemudian kami pun masuk, bukan sebab mengantuk sangat, tapi sebab mak dah mula jeling dari jauh. Faham-faham jelah 😂
Kita stop dekat sini dululah. Penat taip haha.. Sambung part 2 soon! 💖


