
Mari kita patah balik ke tarikh 10 - 12 Mei 2025.
Pada 10, 11 dan 12 Mei lepas, aku balik JB sorang-sorang. Suami aku, Syafiq, kena kerja Sabtu dan Ahad tu. Kebetulan 12 Mei cuti umum sempena Hari Wesak, jadi aku pun ambil kesempatan balik JB lama sikit — dengan keizinan suami tercinta, of course (plus dia sponsor tiket bas huhu).
Sabtu pagi tu, 10 Mei 2025, kakak sulung aku, Kak Suraya, ajak aku, mak, dan ayah pergi sarapan kat kawasan Perling, berdekatan rumah Pakcik Shukor. Dia nak hantar popia frozen yang pakcik order. So kami semua pun breakfast sama-sama dengan pakcik kat kedai mamak.
Aku order roti puri dengan teh O panas. Sedap? Hmm… boleh lah. Asalkan kenyang, ye dak? Hehe. Tapi yang best tu, kami borak sakan dengan Pakcik Shukor sebab dia memang jenis kelakar dan tak kering idea. Macam-macam topik keluar pagi tu.
Lepas makan, Kak Suraya bawa kami jalan-jalan ke Kampung Kong Kong, Pasir Gudang. Saja nak bagi mak ayah tengok laut sambil raikan kepulangan adik bongsu dia ke JB — iaitu saya lah tu, ehem.
Tapi... ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Baru sampai jeti, hujan turun selebat-lebatnya. Jadi kami berteduh dulu kat satu gerai makan tepi jeti tu. Duduk sambil layan pemandangan hujan jatuh ke laut, memang tenang habis. Angin sejuk, bunyi hujan, dan bau laut — sangatlah damai.
Bila hujan reda, kami ambil peluang bergambar. Ada gambar aku dengan mak ayah, dan ada juga gambar Kak Suraya dengan mak ayah. Kira macam “anak bongsu vs anak sulung” moment la ni. Hahaha. Macam budak-budak pun ada, tapi moment tu memang priceless.
Lepas habis sesi jalan-jalan tepi laut (dan hujan lebat) di Kampung Kong Kong, kami terus gerak ke rumah kakak aku nombor dua — Kak Puspa. Hari tu memang plan nak celebrate birthday Lutfi, anak sulung dia. Lutfi ni istimewa sikit — dia baby pertama dalam keluarga kami. Tapi sekarang, dah sekolah menengah pun! Tinggi lonjong, jauh tinggi dari maksu dia (aku lah tu), sampai rasa nak jeling ke atas bila borak dengan dia. Hahaha.
Kak Puspa masak mee hailam untuk jamuan hari jadi. Ya Allah… sedap sangat! Yang jenis pekat, penuh dengan sayur dan seafood tu. Boleh repeat mangkuk kedua tanpa rasa bersalah. Tak cukup dengan tu, Kak Puspa siap order kuih puteri ayu dengan karipap sardin dari jiran sebelah. Kedua-duanya pun sedap tak ingat dunia. Pendek kata — kenyang level kenduri.
Kami makan sambil borak panjang, gelak sakan. Masa kami sampai tu, Abang Haffiz dengan Kak Sa pun baru sampai rumah Kak Puspa. Janji pukul 1 tengah hari, tapi kami semua jenis “janji Melayu” — sampai pukul 2 pun masih rileks. Hehe.
Suasana rumah Kak Puspa hari tu memang hidup. Anak-anak main, orang dewasa sembang, dan yang best, ada juga yang sempat terbongkang tidur — termasuk abang aku dan ipar-ipar lelaki. Nampak sangat selesa dan tenangnya rumah tu. Maklumlah, makan kenyang, cuaca mendung, perut pun bahagia — memang sedap kalau lelap kejap.
Hari Ahad, 11 Mei 2025, aku mulakan pagi lebih awal dari biasa. Seawal 7.30 pagi aku dah terpacak dekat Sireh Park, Iskandar Puteri — lokasi penuh kenangan sebab fun fact, kat sinilah aku pernah shoot gambar sanding lima tahun lepas. Sampai sekarang aku masih tertanya-tanya macam mana aku hiking kat situ dengan baju songket dulu? 😂
Pagi tu, aku join abang sekeluarga, Lutfi, Arif, Kak Suraya dan Abang Erwin pergi hiking santai + jalan kaki. Tapi biasalah, aku yang semangat awal sampai… pukul 8 jugak baru diorang muncul. Cis. Haha.
Kami ikut laluan biasa masuk ke dalam hutan, kemudian lalu laluan off-road — kalau tak silap namanya Sireh X-Rail. Laluan dia best gila, sebab lepas hujan, suasana jadi redup dan tanah pun lembap-lembap sejuk. Ada satu part kami jalan dalam parit kecil yang airnya turun dari bukit — sejuk sangat!
Lepas hampir beberapa puluh minit berjalan, kami sampai ke sebuah kafe dalam hutan. Nak ke kafe tu, kami kena naik satu struktur yang rasa dia macam ala-ala naik sampan — bukan sampan betul, tapi vibe tu memang rare. Duduk kat kafe tu, layan pemandangan pokok-pokok hijau, memang rasa tenang sangat. Hutan, hujan, udara nyaman… lengkap pakej healing.
Sireh Park ni memang sentiasa ada tempat dalam hati aku — bukan sebab gambar sanding je, tapi sebab vibe dia tenang, natural, dan sentiasa bagi memori baru yang manis setiap kali datang.
Pagi Isninku, 12 Mei 2025, bermula di Terminal Larkin. Pagi yang sunyi tapi penuh rasa dalam hati. Hari terakhir aku di JB untuk trip kali ni. Tiket bas aku pukul 8:30 pagi — pagi betul!, tak pernah-pernah ambil tiket awal macam tu sebelum ni. Asalnya memang plan nak balik Ahad petang, tapi mak sempat cakap:
“Tak boleh ke extend balik hari Isnin? Kan cuti umum…”
Dan seperti biasa, bila mak sebut gitu — automatik rasa sebak. Tak sanggup nak cakap “tak boleh”, terus aku reschedule tiket ke hari Isnin. Mujur masih ada seat kosong, walaupun waktu pagi buta. Pagi tu, mak, Kak Suraya, dan Hana (anak buah perempuan pertama kami — umur baru 4 tahun, penuh keletah) hantar aku ke Terminal Larkin. Hana nampak teruja — mungkin sebab tu kali pertama dia tengok bas dari dekat macam tu. Comel sangat tengok dia pandang bas besar tu dengan muka yang excited dia haha.. Diorang tunggu sampai aku naik dan bas mula gerak. Aku macam biasa — lambai sampai hilang dari pandangan, macam dalam babak drama Melayu. Dan mak pun sama — lambai penuh kasih, dari luar tingkap, sambil senyum yang sebenarnya penuh sayu.
Dan masa tu...rasa rindu mula mencucuk.
Betullah... duduk jauh dari family ni bukan senang. Kadang kita boleh gelak-gelak masa bersama, tapi bila tiba masa nak berpisah walau sekejap — hati terus berat. Sebab tulah, setiap kali balik KL mesti mata aku bergenang air mata.
Keluarga. Tempat kita datang, dan tempat kita akan selalu rindu untuk pulang.
Syukur alhamdulillah, atas kesempatan yang Allah bagi — untuk balik kampung, untuk peluk mak ayah, untuk duduk sama-sama dengan adik-beradik, untuk nikmati ketenangan hujan, dan untuk rasa kenyang yang datang dengan kasih sayang.
Moga kenangan kecil macam ni terus jadi penguat hati dan pengubat rindu bila berjauhan nanti.
No comments:
Post a Comment
Dah baca?? Komen okay... Terima kasih daun keladi =)