Saturday, 7 June 2025

Hari Raya Haji Tahun Ini - Versi Demam, Batuk & Selsema

4 Jun 2025 – Hari Raya Aidiladha

Assalamualaikum & salam raya semua! 🌙
Tahun ni raya Haji saya lain sikit. Sebenarnya... tak beraya langsung pun. Tengah tersadai kat rumah sebab demam, batuk, selsema – satu pakej lengkap. Badan rasa serba tak kena, dada rasa berat, hidung pun tak berhenti meleleh. Memang "best" betul.

Walaupun tak sihat, rumah tetap ada sedikit juadah raya. Yong masak daging masak hitam dan kuah lodeh. Lemang, ketupat palas, dan rendang ayam Syafiq beli kat kedai je – tapi tetap cukup untuk buat suasana raya tu hidup sikit walaupun tak meriah macam tahun-tahun lepas.

Saya sendiri? Tak pakai baju raya pun. Rasa lemau sepanjang hari. Makan sepotong lemang je, lepas tu tekak terus rasa tak boleh masuk apa dah. Makan ubat, baring – dan akhirnya tertidur. Tu je cerita raya saya tahun ni.

Kadang-kadang raya bukan pasal baju cantik, rumah penuh tetamu, atau gambar OOTD. Kadang-kadang, raya tu pasal bersyukur… walaupun kita tengah baring demam pun, kita masih ada orang yang jaga kita, masakkan untuk kita, ada makanan atas meja, dan ada rumah yang tenang untuk berehat.

Semoga yang berkorban hari ni – samada korban lembu atau korban tenaga, kasih sayang dan masa – semuanya diberkati Allah.

Dan untuk yang macam saya… yang tengah "berkorban" dengan sakit dan demam, semoga cepat sembuh. Aamiin.

Selamat Hari Raya Aidiladha semua. Maaf zahir & batin 💛
— Tahun ni, saya raya dalam selimut.


TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

No comments:

Post a Comment

Dah baca?? Komen okay... Terima kasih daun keladi =)